Apabila kita menyentuh tentang kemiskinan, kita memikirkan mereka yang serba kekurangan atau ketiadaan keperluan asas seperti bekalan makanan, air dan elektrik serta tempat tinggal. Kita selalunya merujuk kepada seseorang yang tidak memiliki atau ketiadaan akses kepada sumber berbentuk material yang diperlukan bagi kelangsungan hidup dan kehidupan seharian. Tanpa semua ini, kualiti kehidupan manusia akan lebih rendah selain memiliki jangka hayat yang lebih terhad.
Terdapat banyak sumber yang sering dipandang enteng oleh kebanyakan daripada kita, contohnya kemudahan air bersih. Malah, semakin ramai yang sukar menjalani kehidupan seharian kini tanpa WiFi.
“Namun realiti di sebalik keadaan masyarakat miskin bandar dan orang asli di Malaysia adalah sangat suram.”
Perbezaannya juga mengejutkan. Hanya 16km dari Menara Berkembar Petronas yang tersergam indah dan dulunya pernah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di dunia, merupakan tempat tinggal komuniti orang asli di Gombak. Mereka ini tidak mampu membayar walau sekadar tambang bas RM1.50 sehari untuk anak-anak mereka ke sekolah. Bayangkan pula keadaan masyarakat orang asli yang tinggal ratusan kilometer jauhnya dari ibu kota (atau mana-mana bandar dan pekan lain), di dalam hutan hujan Malaysia.
Jika kemiskinan itu diukur dengan kekurangan sumber material, maka penyelesaian yang jelas adalah dengan menyediakannya. Secara jangka pendek, seguni beras, sardin dalam tin dan minyak masak dapat mengisi perut yang lapar selama seminggu dua. Namun, untuk memberikan perubahan yang berkekalan secara keseluruhan, kita memerlukan pembangunan komuniti dan pemerkasaan ekonomi.
“Ia bakal mengukuhkan kemampuan masyarakat untuk menjana harapan dan peluang yang lebih cerah sekali gus membuka pintu yang selama ini tertutup.”
Saya ada satu kisah untuk dikongsikan. Pada tahun 2016, kami menemubual salah seorang guru sukarelawan yang bekerja dalam sebuah komuniti orang asli di Paya Mengkuang, terletak berdekatan pantai barat Semenanjung Malaysia, di sempadan Pahang. Kampung tersebut jauh di dalam hutan dan tiada bekalan air. Alex, guru sukarelawan tersebut dan seluruh warga kampung yang lain meminum air yang dipam dari bawah tanah ke dalam perigi. Terdapat sebuah bilik mandi yang dibina tanpa dinding walaupun berbumbungkan zink. Agaknya bimbang kehujanan ketika sedang mandi. Air untuk mandi dipam dari sungai berhampiran. Rumah-rumah di kampung ini tidak mempunyai kuasa elektrik, jadi mereka menggunakan api daripada minyak tanah atau lampu suluh berkuasa bateri yang diikat di dahi mereka sebagai sumber cahaya.
Alex tinggal dan mengajar di balai raya yang dibina oleh kerajaan sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan masyarakat, terletak betul-betul di tengah kampung. Bangunan ini mempunyai bekalan elektrik dan air, satu-satunya tempat yang memiliki kemudahan tersebut. Bangunan kecil ini juga mempunyai sebuah tandas moden yang hanya digunakan oleh Alex seorang. Para penduduk kampung tidak menggunakannya. Mereka takut dengan kemudahan tersebut dan merasakan tidak ada keperluan untuk mencuba sesuatu yang berlainan dengan cara mereka selama ini.
Jadi, apakah kepentingan di sebalik pengalaman ini? Kita tidak boleh mengatakan bahawa cara mereka adalah salah. Mereka telah hidup dengan cara ini sejak zaman-berzaman. Namun kita perlu melihat kepentingan bahawa bangunan dengan tandas dan infrastruktur moden yang dibina dengan niat yang baik dan tujuan khusus yang sepatutnya memberi manfaat kepada komuniti ini akhirnya gagal memberikan impak.
Usaha kita untuk memberikan derma kepada badan kebajikan, menyediakan infrastruktur, membina panel solar, membina sekolah baharu – semua ini hanyalah sebahagian daripada penyelesaian. Apalah gunanya kita membina tandas jika ia menakutkan? Peruntukan sumber material memiliki had batasan tertentu.
“Kita perlu memikirkan semula cara kita melakukan amal dan menyelami pendekatan yang dilaksanakan.”
Kita harus memahami terlebih dahulu kehidupan komuniti yang ingin dibantu. Niat yang baik memang dipuji, tetapi kita mesti melaksanakannya dengan cara yang benar-benar memberikan manfaat dan mengubah komuniti sekiranya kita benar-benar ikhlas dalam usaha untuk memartabatkan dan memperkasakan mereka.