Amerika baru sahaja meraikan ‘Thanksgiving Day’, atau Hari Kesyukuran, di mana para keluarga akan berkumpul dan menikmati ayam belanda panggang bersama. Kami di Malaysia tidak meraikan sebegini, tetapi konsep memperingati dengan kesyukuran atas segala yang diberikan kepada kita; untuk keluarga, sahabat dan nyawa kita, adalah sesuatu yang indah. Dalam seni yoga, untuk setiap nafas yang kita hembus, kita haruslah memberi syukur. Ini benar-benar mengabadikan pemahaman kesyukuran pada tahap yang paling asas dan mendalam.
Saya tidak dilahirkan ke dalam kemewahan. Keluarga saya berpendapatan rendah. Kami pernah melalui hari baik dan hari buruk – kami telah mengalami suka dan duka. Tetapi saya sedar, saya amat bertuah untuk dilahirkan di Malaysia, dan berupaya mendapat pendidikan, makanan di atas meja, dan keselamatan hidup. Untuk saya, kebolehan kita untuk merasa syukur atau tidak bergantung kepada perspektif dan lensa yang dipakai untuk menilai hidup kita.
“Saya menangis kerana saya tidak mempunyai kasut, sehingga saya bertemu dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai kaki” – Helen Keller
Adalah mudah untuk memberi tumpuan kepada apa yang kita tidak ada, untuk tidak berpuas hati dengan segala yang kita tidak mampu miliki. Kita mula menyamakan kebahagiaan dengan harta benda dan kekayaan. Apabila kita melihat rakan kita memperoleh lebih banyak wang, atau membeli rumah yang lebih besar, kita mula menjadi tidak puas hati dan mendambakan apa yang mereka ada. Akibatnya kita terjerat dalam perlumbaan untuk mendapat lebih harta dan wang yang tiada penghujungnya, yang hanya penuh dengan tekanan dan kekecewaan.
Jadi, bagaimana kita boleh mengecapi kebahagiaan? Sebenarnya, rahsia kebahagiaan bukanlah satu rahsia. Untuk mengecapi kebahagiaan kita harus merasa berterima kasih, mengamalkan rasa syukur setiap hari, dan berpuas hati – apabila kita tenang dan puas hati, kita akan mengalami pertumbuhan ke arah kemajuan diri. Dan kemajuan diri ini adalah salah satu komponen utama untuk kejayaan.
“Syukur adalah kunci kepada kepenuhan hidup. Ia mengubah apa yang kita ada, menjadikannya cukup dan juga lebih.” – Melody Beattie
Satu lagi kunci kebahagiaan adalah dalam perbuatan memberi. Apabila pendapatan kita meningkat, kita mungkin tiba-tiba memikirkan semua benda yang kita kini mampu beli. Mungkin ia beg tangan berjenama, atau gajet terkini.
“Tetapi apabila pendapatan kita meningkat, kita seharusnya meningkatkan pemberian kita, bukan perbelanjaan kita.”
Bagi saya, ini sangat kuat ertinya. Selain merasa rahmat dan bersyukur untuk apa yang kita ada, kita juga harus berkongsi dengan orang lain. Bayangkan perbezaan yang kita dapat buat bersama.
Walaubagaimanapun, pemberian ini bukan sekadar memberi derma yang besar, atau memberi 80% daripada pendapatan anda untuk membantu golongan miskin. Kita boleh melakukan perbuatan baik yang kecil, yang kita mampu beri kepada orang disekeliling kita. Sebagai contoh, memberi senyuman dan bertanya khabar, membantu orang tua dengan barang harian, atau mengucapkan terima kasih kepada tukang cuci yang telah bekerja keras.
“Perbuatan baik yang kecil amatlah berkuasa.”
Walaupun kecil, ia boleh banyak membantu. Kepada penerima, ia boleh menyerlahkan hari mereka, dan juga berupaya mengubah hidup mereka. Tapi kita tidak melakukannya dengan kerap atau cukup. Kita seharusnya tidak memerlukan masa yang tertentu atau sebab untuk melakukannya. Jika kita memerlukan sebab pun, sebabnya adalah kerana kita memiliki rasa syukur dalam hati kita.
“Semestinya kita mengenang berkat kita, tetapi berkat yang kita nikmati harus juga meninggalkan kesan.” – Neal A. Maxwell
Jom kita melakukan satu perbuatan baik yang kecil hari ini. Ia tidak memerlukan kos yang tinggi. Ia boleh semudah senyuman. Anda boleh membeli minuman untuk pekerja yang menyapu jalan, atau makan tengah hari untuk pengawal keselamatan di kompleks pangsapuri anda. Atau belikan sebuah hadiah untuk mereka yang melayani anda secara langsung atau tidak langsung.
Tidak kira apa yang anda berikan, yang penting ialah anda memberi. Kita perlu bermula di suatu tempat. Mulakan dengan kecil-kecilan, mengikut kadar anda. Pengalaman membantu mereka yang memerlukan adalah indah, yang boleh memberi anda kepuasan hati dan kegembiraan. Perasaan ini boleh membuatkan anda untuk ingin melakukannya dengan lebih!
Kesimpulannya, kesyukuran seharusnya bukan sahaja disambut sehari setahun, atau untuk semusim sahaja. Ia harus menjadi suatu cara hidup.