Terdapat begitu banyak perbincangan tentang cara untuk kita terus melangkah ke hadapan dalam bidang pendidikan, terutamanya sejak kehadiran pandemik Covid-19. Perubahan landskap akibat krisis global ini telah mendedahkan dan mencabar sistem pendidikan kita, menjadikannya tidak stabil dan serba kekurangan.
Sepanjang beberapa dekad yang lalu, proses pembelajaran tidak banyak berubah dari segi kandungan dan perkara yang dipelajari dalam bilik darjah. Contohnya, Matematik yang saya pelajari 20 tahun lalu masih lagi diajar oleh guru sehingga hari ini. Walaupun dunia telah banyak berubah sejak itu, sistem pendidikan kita masih lagi di takuk lama.
Ini dilema yang sedang kita hadapi. Jika ia berterusan, perkara yang diajar kepada anak-anak kita tidak lagi digunakan ketika mereka melangkah ke dunia pekerjaan. Hal ini disebut sebagai ‘jurang masa depan’.
“Terdapat jurang yang besar antara perkara yang dipelajari oleh kanak-kanak hari ini dengan perkara yang perlu mereka ketahui di masa hadapan.”
Dalam tempoh 20 tahun lagi, dunia kita akan kelihatan sangat berbeza. Adakah sistem pendidikan yang kita miliki pada hari ini mencukupi untuk mempersiapkan anak-anak kita dalam mengharungi hari esok?
Dalam menangani ‘jurang masa depan’ ini, kita perlu menjangka keadaan di masa hadapan dan memperbaharui sistem pendidikan untuk memenuhi keperluan tersebut. Bukanlah sesuatu yang mustahil juga untuk kita meramalkan suasana tempat kerja pada masa akan datang.
Penulis mencadangkan agar kita memberi tumpuan kepada STEM. Kita sudah dapat melihat kemajuan tersebut pada hari ini, seiring dengan peralihan kepada dunia teknologi. Ia bukan sekadar trend, tetapi sesuatu yang telah menjadi contoh kepada ramai orang. Tempat kerja masa depan akan menjadi tempat di mana kemahiran dalam STEM bukan sahaja sangat dihargai, tetapi sangat diperlukan.
Namun mungkin yang lebih penting, seperti yang dikatakan oleh Dr Steven Paine, “it’s not about what we teach but how it’s taught,”. Cara sesuatu perkara itu diajar adalah lebih penting berbanding dengan pelajaran itu sendiri. Kita perlu memberi tumpuan kepada kemahiran seperti penyelesaian masalah dan kemahiran sosial yang merupakan kecekapan utama dalam dunia yang dipenuhi pelbagai teknologi ini.
“…the skills of the future will be far less recall-based and far more rooted in understanding systems, problem-solving, social empathy, and collaboration. ” Di masa hadapan, kemahiran yang lebih diperlukan adalah tentang cara memahami sistem, menyelesaikan masalah, daya empati sosial dan kerjasama berbanding teknik hafalan yang kita terapkan pada hari ini. Sesuatu yang dipelajari itu akan lebih bernilai sekiranya kita dapat menjadikannya berguna. Oleh itu, kita perlu memastikan anak-anak kita memperoleh pendidikan yang bernilai di masa hadapan. Jangan pula kita seolah-olah melemparkan pancing tanpa berumpan. Pastikan mereka bukan sahaja memiliki keupayaan untuk bertahan, malah berjaya dengan cemerlang.