Menjelang musim perayaan, saya sentiasa terkenang saat saya berada di Timor Leste. Sebagai sebuah negara di mana penduduknya rata-rata beragama Katolik, Krismas adalah satu perayaan besar. Walau bagaimanapun, ia tidak disambut sebagai mana biasa seperti yang kita bayangkan. Mungkin jauh dari jangkaan anda, tetapi keindahannya meninggalkan kesan yang mendalam bagi diri saya.
Pada satu ketika, seorang rakan di Malaysia memberitahu bahawa dia tidak akan meraikan Krismas pada tahun ini dengan parti besar-besaran kerana hatinya tidak gembira. Saya bertanya mengapa dan rupanya dia tidak menerima bonus yang diharapkan, jadi tidak banyak wang yang boleh dibelanjakan kali ini. Perancangannya untuk perayaan Krismas dan cara sambutan yang bakal diadakan adalah bergantung kepada jumlah wang yang dimiliki pada tahun tersebut.
Tetapi Timor Leste memberikan gambaran yang berbeza kepada saya. Ia sebuah negara miskin; separuh daripada populasi penduduknya hidup dengan berbekalkan $1 sehari. Teramat sedikit.
“Namun kekurangan itu tidak menghalang mereka daripada merayakan Krismas, malah ia menjadikan perayaan tersebut lebih bermakna.”
Semasa saya berada di sana di musim Krismas pada tahun 2007, saya lihat orang ramai ke gereja sempena Krismas dan berkongsi sebotol Coke selepas itu. Terdapat sekitar 10 orang remaja yang berkongsi sebotol Coke (selepas itu saya mendapat tahu kandungannya bukanlah Coke tetapi wain beras) dan menikmati setiap tegukan. Mereka kemudiannya bergembira dalam sebuah parti yang penuh dengan gelak tawa.
Mereka juga mula melemparkan serbuk ke arah satu sama lain, sama dengan tradisi sambutan Holi di India. Tetapi mereka cuma menggunakan serbuk, sama ada tepung atau bedak, dan melemparkannya ke arah satu sama lain untuk berseronok. Saya tidak faham mengapa mereka melakukannya namun saya kemudiannya mengerti bahawa kita tidak memerlukan wang untuk meraikan Krismas. Malah, mereka semua tidak berpakaian baharu. Di Malaysia, kita selalu membeli baju baharu untuk sambutan perayaan-perayaan utama seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali. Semuanya serba baharu. Bukan sahaja baju, tetapi langsir juga baharu.
Bagi mereka, Krismas adalah tentang komuniti. Mereka berparti dan menyanyi dengan sebuah gitar, bersama-sama dengan penduduk kampung melalui pembesar suara murah. Tetapi sambutan tersebut menyeronokkan. Suasana meriah dan penuh kegembiraan. Tiada makanan yang mewah terhidang atau lambakan hadiah, tetapi mereka masih menyambutnya bersama-sama. Mereka menikmati kehadiran masing-masing.
Inilah sebenarnya yang patut kita raikan, bukankah begitu?
“Tidak kira sama ada Krismas atau Tahun Baru Cina, setiap keluarga perlu merayakannya dengan meluangkan masa bersama.”
Namun ramai yang sibuk menunjukkan kejayaan material semasa musim perayaan ini, dengan memakai pakaian menarik, menaiki kereta mewah atau membeli perabot baharu di rumah.
Perayaan ini adalah tentang perhubungan, sesuatu yang hanya boleh dibina dengan kasih sayang dan masa. Semua ini tidak dapat dijual beli. Di Timor Leste, saya melihat sendiri seberapa kukuh hubungan masyarakat yang terjalin. Penduduk di sana mengenali rakan-rakan dan jiran mereka dengan baik dan saling memasak antara satu sama lain serta menjalani hidup bersama. Malangnya, kita di bandar tidak memiliki semua itu.
Apabila masyarakat mempunyai kekayaan, tumpuan mereka selalunya ke arah pelaburan wang dan bukannya untuk perhubungan. Apabila mereka bersikap sedemikian, mereka tidak mempunyai sebab untuk berkenalan dengan jiran tetangga atau melibatkan diri dalam komuniti. Semua pihak hanya berada di rumah sendiri dan seterusnya menjadikan dunia mereka semakin kecil sehinggakan apabila kita semua berusia 50 atau 60 tahun, walaupun dikelilingi rakan-rakan yang bermain golf bersama, mereka masih mempunyai kehidupan sendiri.
Mungkin kerana itu, kita gemar untuk balik kampung. Kembali ke suasana yang lebih tenang dengan masyarakat yang lebih ramah dan mesra. Namun kita sebenarnya masih boleh tinggal di bandar dan memiliki kehidupan yang lebih bermakna sekiranya kita benar-benar berusaha untuk membentuk perhubungan antara satu sama lain.
Saya masih ingat ketika saya pulang ke Melaka untuk melawat nenek. Apabila semua keluarga berkumpul, kami tidak pernah berbual tentang wang ringgit. Tetapi kami bercerita tentang siapa yang pandai membuat samosa yang paling sedap. Kami juga akan meminta nenek untuk menjemput mak cik yang membuat kuih-muih lazat (semuanya bertemakan makanan di sini!). Kami tidak kisah siapa yang kaya atau miskin, semuanya datang untuk berkongsi dan menikmati hidangan bersama.
“Inti pati sebagai seorang manusia itu adalah perhubungan.”
Ia bukanlah tentang perkara yang kita punyai dan miliki. Menjelang Krismas yang semakin hampir ini, marilah kita mengingati semangat sebenar perayaan tersebut selain meluangkan masa dan tenaga kita ke arah membina dan mengukuhkan hubungan dengan mereka di sekeliling kita.