Perayaan tahun baru tentunya berbeza sejak kewujudan pandemik Covid-19. Perasaan seronok dan gembira yang selalu dirasakan di permulaan tahun tidak lagi selari dengan realiti di sekeliling kita yang penuh dengan ketidakpastian, dugaan dan kehidupan yang sukar dijangka.
Sudah 21 bulan berlalu sejak Malaysia memulakan perintah kawalan pergerakan pada bulan Mac 2020. Walaupun kita telah maju selangkah ke hadapan dalam usaha untuk keluar daripada krisis kesihatan global ini, kita masih belum berjaya sepenuhnya.
Kehidupan kita sepanjang pandemik ini sangat luar biasa. Kali terakhir pandemik di seluruh dunia berlaku adalah sekitar 100 tahun lalu. Kita sangat merasakan sejauh mana pandemik telah mengubah cara kita ke sekolah dan bekerja, berniaga dan berkomunikasi. Dunia bukan lagi seperti yang kita kenali sebelum ini, segalanya berbeza.
Ramai yang mengalami penderitaan, rasa sakit dan kehilangan. Namun di sebalik kesedihan, kita juga dapat menyaksikan ketabahan yang belum pernah dilihat sebelum ini terutamanya di Malaysia. Kita melihat para petugas barisan hadapan bekerja tanpa mengenal erti penat lelah dan rakyat menjaga rakyat, saling membantu saat memerlukan.
Di permulaan tahun baru ini, saya memandang jauh ke hadapan dengan penuh harapan dan saya ingin mengajak anda untuk turut sama memikul harapan ini. Tempoh luar biasa ini memerlukan tindakan yang luar biasa juga.
“Saya berharap kita dapat melihat peningkatan dalam akses pendidikan untuk semua.”
Agar tidak ada sesiapa yang ketinggalan disebabkan keadaan sosioekonomi atau lokasi geografi yang membataskan. Dengan peningkatan ruang pembelajaran maya dan peluang yang diberikan, lebih ramai dapat belajar dan menggunakannya untuk menambah baik prospek kehidupan.
Kita tidak boleh menafikan bahawa pendidikan dapat merubah kehidupan. Kehadiran pandemik menyebabkan kita perlu lebih pantas menangani masalah ini, kerana semakin ramai kanak-kanak ketinggalan dalam pembelajaran mereka akibat penutupan sekolah dan kekurangan akses kepada keperluan seperti komputer, telefon bimbit dan sambungan internet.
Saya berharap jurang ketaksamaan ini akan semakin rapat. Ketaksamaan yang disebabkan oleh diskriminasi, kemiskinan, gender – semua ini akan hilang melalui pendidikan dan peluang pekerjaan.
Kehilangan pekerjaan akibat pandemik juga melihat lebih ramai rakyat sukar diambil bekerja atau tugas mereka tidak lagi diperlukan. Ramai yang bergelut dengan teknologi dan keperluan untuk menjadi celik digital. Walaupun pelbagai latihan diperlukan, ramai yang tidak berpeluang menjalani latihan sedemikian.
Menjadi harapan saya untuk melihat tenaga boleh diperbaharui atau renewable energy digunakan dengan lebih meluas. Tidak lama lagi, kita akan melihat tenaga ini bukan sekadar sesuatu yang mewah khusus untuk golongan elit, malah sesuatu yang tersedia, mampu milik dan dapat diakses oleh semua.
“Saya juga berharap lebih banyak negara, pihak korporat dan individu yang membuat perubahan dalam menangani krisis perubahan iklim.”
Perubahan yang bukan sekadar di peringkat dasar tetapi juga di peringkat akar umbi. Kadangkala kita sebenarnya yang perlu berubah terlebih dahulu dengan memulakan langkah pertama.
Namun harapan akan tinggal harapan tanpa tindakan yang jelas dan nyata. Jadi, saya turut membawa harapan tersebut bersama azam untuk melakukan apa saja agar ia dapat menjadi satu kenyataan dengan meneruskan dan melipatgandakan kerja-kerja yang telah kita mulakan di SOLS.
Semoga anda juga dapat sama-sama berganding bahu untuk menjadikan dunia ini lebih baik, hari demi hari.
Raikan 2022 – tahun yang penuh harapan dan keazaman untuk semua.
Selamat Tahun Baru, semoga tahun ini membawa sinar yang lebih cerah.